Ciri-Ciri Mukmin Sejati
Akhlak
Saturday, 15 January 2011 10:41

Maksud sabda Rasulullah SAW, “Ciri-ciri muslim yang baik ialah mereka yang menyelamatkan sekelian orang-orang Islam daripada lidahnya dan tangannya dan manakala mukmin yang kamil ialah mereka yang mensejahterakan sekelian manusia terhadap darah dan harta mereka daripadanya”. Kepada mereka yang suka menyakiti hamba Allah lain dengan perkataan, perbuatan atau mempunyai niat buruk maka tidak layaklah beliau seorang muslim yang sempurna dan tidak sah digelarkan muslim kepadanya, lantaran Islam itu diambil daripada selamat sejahtera dan iman pula diambil daripada aman sentosa yang bermaksud berserah dan tuntuk patuh kepada Allah SWT.

Manakala orang-orang mukmin pula apabila harta benda dan jiwa raga manusia tidak aman daripadanya malah tangannya bekerja untuk meruntuh, menyogok dan memakan rasuah, maka bukanlah ia mukmin yang sejati tetapi sifat iman itu telah tertanggal dalam dirinya.

Islam bukanlah kata-kata kosong begitu sahaja malahan Islam ialah amal soleh untuk kebajikan manusia seluruhnya dan merupakan satu tanaman yang berbuah lazat untuk kebahagiaan mereka. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Tidakkah engkau lihat betapa Tuhan membuat perbandingan kalimah yang baik itu dengan sepohon kayu yang baik, akar tunjang dibumisedangkan ranting-rantingnya menuju ke langit setiap masa mendatangkan buah-buahan dengan izin Tuhannya”.

 

Begitulah sifat-sifat muslim mukmin yang sejati yang telah ditegaskan oleh Rasulullah SAW. Adapun orang yang berwatakkan diri yang soleh, bertaqwa, memanjang-manjangkan janggut, menyaringkan suara dan menggerakkan tasbih sedangkan semuanya itu dilakukan dengan penuh riak dan tipu daya, dia mempunyai rekod yang hitam di sebalik amalannya yang baik itu dan dia mempunyai nafsu yang buruk dan niat yang jahat di balik pakaian taqwanya itu. Sinaran Islam dan cahaya iman tak dapat menembus nafsunya, pendeknya dia adalah semata-mata baik lahir dan buruk batinnya, betul di luar dan rencong di dalam.

 

Orang yang begini sifatnya maka dia adalah seteru Allah di buminya penentangan Rasulullah pada segala ajarannya meruntuh segala nazam peraturan yang diturunkan oleh Allah dan merosakkan kemakmuran yang dikehendaki.

 

Sekian. Semuga bertemu lagi di keluaran akan datang, Insyaallah!

- Ust. Juhari Mat Isa
Last Updated ( Monday, 14 February 2011 22:57 )