Dakwah Remaja Kita Secara Professional
Da'wah
Saturday, 15 January 2011 09:57

     Para pendakwah Islam bekerja kuat untuk menarik minat remaja bukan Islam supaya masuk Islam. Pada waktu yang sama mereka berusaha menguatkan keyakinan remaja Islam bahawa agama yang diterima daripada ibubapa adalah agama yang dapat dibanggakan.

   Seperti mana pendakwah Islam berusaha menarik remaja bukan Islam memasuki Islam, para pendakyah agama-agama lain juga bersaing untuk menarik remaja Islam masuk agama mereka.  Remaja yang yakin pada mana-mana satu agama akan kekal menganuti agama itu sepanjang hayat.

   Golongan muda yang berpendidikan moden dapat diyakinkan kepada Islam dengan bukti dan fakta yang rasional yang dapat diterima minda mereka.  Pendekatan secara professional dengan segala persiapannya penting sebelum berdepan dengan mereka.

   Mengikut kamus dewan, professional bermaksud, “berasaskan (memerlukan) kemampuan atau kemahiran yang khusus untuk melaksanakan sesuatu, cekap (teratur) dan memperlihatkan kemahiran tertentu.”  Dakwah ialah medan jihad dan ijtihad dan ia tidak boleh dilakukan secara semberono.  Perancangan serta persiapan perlu dilakukan darimasa kesemasa bagi menjamin kejayaan dakwah.  Jihad bermaksud perjuangan yang bersungguh-sungguh untuk menegakkan kebenaran.  Jihad yang sah adalah yang berasaskan prinsip-prinsip Islam.  Iman Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda Nabi yang bermaksud, “Sesiapa yang berjuang untuk meninggikan kalimah Allah dialah yang berjuang pada jalan Allah.”

   Semasa berjihad, kekuatan dan kelemahan diri serta musuh perlu dikenalpasti.  Disamping itu suasana dan keadaaan persekitaran perlu diambil kira.  Semua ini perlu digarap dan digunakan untuk membuat keputusan-keputusan penting dalam perjuangan.  Perubahan suasana kadangkala memerlukan perubahan hukum.  Justeru jihad yang benar memerlukani jtihad dari masa kesemasa.  Ijtihad bermaksud, kesungguhan bagi menentukan hukum berdasarkan al-Quran dan Sunnah.

  Pendakwah memerlukan ilmu mantap agar ijtihadnya tidak terbabas dari prinsip-prinsip Islam.  Untuk itu, persiapan kemas amat diperlukan.  Berhubung dengan ini Imam Sufyan at-Thauri berkata,  “Janganlah seseorang mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran melainkan jika ada padanya tiga ciri:  
1. Berlemah lembut dengan apa yang diseru dandicegah.
2. Adil dengan apa yang diseru dan dicegah. 
3. Berilmu berhubung apa yang diseru dan dicegah.”

   Didalam Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali menjelaskan, berdakwah memerlukan persiapan dan adap dan ia terbahagi kepada tiga iaitu ilmu, warak dan baik akhlak.  Beliau berkata, “Berkaitan dengan ilmu, pendakwah perlu mengetahui suasana dakwahnya, batas-batasnya, tempat berlakunya kemungkaran serta penghalang-penghalangnya supaya dakwahnya berjalan atas landasan agama.  Warak menuntut pendakwah menjauhi perbuatan-perbuatan salah yang diketahuinya.  Berhubung dengan akhlak yang baik, pendakwah hendaklah berdakwah dengan lemah lembut dan kasih sayang.  Dengan tiga sifat ini, dakwah menjadi amalan yang mendekatkan seseorang kepada Allah.  Tanpa ketiga-tiganya kemungkaran tidak akan tertolak malah kadangkala dakwah bertukar menjadi kemungkaran kerana melampaui batas-batas agama.”

Dalam kitab Tanbihul Ghafilin, Imam Abul Laith as-Samarqandi membahagikan persiapan umum pendakwah kepada lima: 
1.  Ilmu,
2.  Keikhlasan, 
3.  Kasih sayang dan kelembutan,
4.  Kesabaran,                
5.  Mengamalkan apa yang disampaikan.

Bagi mencapai semua ini pembentukan yang efisien dan efektif melalui minhaj tarbiah yang kemas diperlukan.  Tarbiah ini perlu dipimpin oleh pendidik–pendidik yang bertakwa lagi agar ia mampu melahirkan pendakwah professional yang releven dengan zamannya.  Sehubungan dengan itu Imam Hassan al-Banna berkata,  “Wasilah atau pendekatan umum dakwah tidak berubah dan ia terbahagi kepada tiga: berkemahiran

  1.  Iman yang mendalam,

  2.  Pembentukan yang rapi lagi kemas,

  3.  Usaha dan amal yang berterusan.

Selain daripada itu, Imam al-Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin juga menyenaraikan empat keadaan yang mungkin ditempuhi oleh seorang pendakwah:

 1.  Pendakwah menyedari dakwahnya tidak akan mendatangkan sebarang manfaat malah berkemungkinan dia dipukul dan dicederakan.  Dalam suasana seperti ini tidak wajib baginya melaksanakan dakwah.

 2.  Pendakwah menyedari dakwahnya dapat menyebabkan kemungkaran tercegah dan tidak ada sesiapapun yang berani melakukan sebarang tindak balas ke atasnya.  Dalam suasana seperti ini dia wajib melaksanakan dakwah.

 3.  Pendakwah menyedari dakwahnya tidak mendatangkan sebarang kesan positif dan dia sanggup memikul sebarang risiko yang mungkin menimpa atas dirinya.  Dalam situasi seperti ini dia disunatkan menyampaikan dakwah tetapi tidak diwajibkan.

 4. Pendakwah menyedari dakwahnya akan memudaratkan diri tetapi jika dilakukan juga ia mencegah kebatilan yang sedang berlaku.  Dalam keadaan seperti ini dakwahdisunatkandigalakkan keatasnya.

- Petikan dari Buku Berdakwah Untuk Remaja Moden

Last Updated ( Saturday, 15 January 2011 10:25 )